NILAI, 25 September 2026 – Pejabat Integriti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Unit Latihan, Jabatan Pendaftar terus memperkukuh budaya integriti dalam kalangan warga akademik menerusi penganjuran Kursus Akauntabiliti dan Integriti Akademia.

Kursus yang diadakan secara dalam talian melalui platform Microsof Teams itu memberi penekanan terhadap kepentingan pemahaman berkaitan undang-undang, etika dan akauntabiliti sebagai asas dalam membentuk warga akademik yang berintegriti.

Mengangkat tajuk “Navigasi Undang-undang dan Etika: Benteng Integriti Akademia Muda”, kursus tersebut menampilkan Encik Shazril Khairy Mustafa, Peguam Bela & Peguam Cara/Penguam Syarie merangkap Ahli Jawatankuasa Integriti USIM sebagai penceramah. Program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu diwajibkan kepada semua pensyarah yang dilantik pada tahun 2019 dan ke atas, selain turut dibuka kepada seluruh warga USIM.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh kefahaman warga akademik terhadap tanggungjawab, etika profesional dan nilai integriti dalam melaksanakan amanah sebagai warga universiti.

Melalui pengisian yang diketengahkan, peserta berpeluang meningkatkan kesedaran terhadap aspek perundangan dan etika akademia, sekali gus menyokong usaha membudayakan amalan kerja yang berteraskan akauntabiliti dan integriti dalam persekitaran universiti.