NILAI, 20 Ogos 2026 – Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2026, Pejabat Integriti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Bicara Integriti Siri 4/2026 bertemakan “Merdeka Menyatukan, Integriti Menguatkan” yang berlangsung secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams.

Program tersebut menampilkan YBhg. Encik Mohd Hariri Mohamad Daud, Ahli Lembaga Pengarah Universiti merangkap Ahli Jawatankuasa Integriti USIM sebagai panel jemputan. Dalam sesi bicara tersebut, beliau mengupas lima perkara yang menyumbang kepada pengukuhan dan kestabilan negara serta institusi, di samping lima perkara yang boleh menjadi faktor kerosakan dan kelemahan sesebuah negara atau institusi.

Perkongsian yang disampaikan turut menekankan bahawa integriti merupakan asas penting dalam membentuk sebuah institusi yang kukuh, berdaya tahan dan dipercayai, selaras dengan semangat kemerdekaan yang menyatukan masyarakat dalam membina negara yang sejahtera dan berintegriti.

Melalui penganjuran Bicara Integriti ini, warga USIM diharap dapat menghayati bahawa semangat kemerdekaan bukan sekadar meraikan sejarah dan kedaulatan negara, malah perlu diterjemahkan melalui amalan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab demi memperkukuh institusi dan masyarakat.

Penganjuran program ini merupakan salah satu usaha berterusan Pejabat Integriti USIM dalam memperkukuh budaya integriti, meningkatkan kesedaran serta menyemai nilai amanah dan tanggungjawab dalam kalangan warga universiti.