NILAI, 24 Jun 2026 – Kursus Asas Pengurusan Integriti (KAPI): Tatacara Perolehan dan Kewangan Jabatan telah berjaya dilaksanakan pada Rabu bertempat di Galeri Canselori, Aras 1, Bangunan Canselori dengan penyertaan staf daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (Skim J) serta kumpulan pengurusan dan profesional serta pelaksana Gred 5 ke atas.

Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran warga kerja terhadap risiko rasuah dalam pengurusan projek pembangunan, di samping memperkukuhkan nilai integriti dalam pelaksanaan tugas harian.

Sepanjang program, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian penting termasuk penerangan berkaitan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan kesalahan berkaitan, risiko rasuah dalam projek dan perolehan, serta panduan mengenal pasti dan menangani situasi berisiko dalam organisasi.

Pelaksanaan kursus ini turut memberi impak positif apabila berjaya meningkatkan tahap kesedaran dan sensitiviti staf terhadap isu integriti dan rasuah, seterusnya menyumbang kepada pemantapan tadbir urus dan akauntabiliti organisasi. Selain itu, ia juga berperanan dalam mengurangkan risiko ketirisan dalam pengurusan projek pembangunan serta membudayakan nilai integriti dalam kalangan warga kerja.

Secara keseluruhannya, penganjuran Kursus KAPI ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan persekitaran kerja yang lebih telus, berakauntabiliti dan bebas rasuah selaras dengan aspirasi organisasi dalam memperkukuh tadbir urus yang baik.