Nilai, 15 April 2026 – Program BERANI (Belia Elak Rasuah, Amalkan Nilai Integriti) telah dianjurkan sebagai inisiatif pendidikan berteraskan pemupukan nilai integriti, kesedaran serta penghayatan antirasuah dalam kalangan belia, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi. Program ini bertujuan membentuk generasi muda yang berintegriti tinggi serta berdaya tahan terhadap gejala rasuah sejak di peringkat awal pembentukan jati diri.
Penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada keperluan kursus GIG1011 Jalinan Masyarakat bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens (Eksternal), Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Sehubungan itu, program ini mensasarkan pelajar Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) di bawah Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai peserta utama bagi memastikan penglibatan belia yang relevan dengan objektif penganjuran.
Menurut penganjur, pelaksanaan Program BERANI selari dengan aspirasi universiti dalam membudayakan amalan integriti, tadbir urus yang baik serta pencegahan rasuah di peringkat akar umbi. Usaha ini dilihat signifikan dalam melahirkan bakal graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah beretika dan berprinsip tinggi sebelum melangkah ke alam pekerjaan serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat dan negara yang bebas rasuah.
