Cyberjaya | 8 April 2026

Majlis Pegawai Integriti Universiti Awam (MPIUA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai langkah strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti awam dan agensi pengawal selia komunikasi serta multimedia negara.

Kunjungan rasmi yang diketuai oleh Pengerusi MPIUA ini bertujuan mendapatkan pencerahan berkaitan pendekatan kawal selia dan penguatkuasaan semasa dalam ekosistem komunikasi digital, khususnya melibatkan tadbir urus maklumat, pengurusan media sosial, keselamatan komunikasi digital serta pematuhan terhadap kerangka perundangan yang berkuat kuasa.

Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan serta amalan terbaik berkaitan pengurusan integriti, tadbir urus dan pematuhan organisasi. Selain itu, potensi kolaborasi strategik telah dibincangkan, termasuk pelaksanaan program advokasi, perkongsian kepakaran dan inisiatif kesedaran digital yang boleh dimanfaatkan oleh warga universiti awam di seluruh negara.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan MPIUA dalam memperkasa agenda integriti dan tadbir urus yang baik selaras dengan perkembangan pendigitalan nasional serta aspirasi Malaysia MADANI. MPIUA berharap hubungan strategik yang terjalin ini dapat diteruskan dan diperkukuh melalui pelbagai inisiatif kerjasama pada masa hadapan demi menyokong ekosistem pendidikan tinggi yang berintegriti, berdaya tahan dan berdaya saing.