NILAI – Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) merupakan sebahagian daripada usaha membantu pihak yang memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk barangan, kewangan, khidmat nasihat atau sebagainya. Sehubungan itu, Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko, Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpanggil untuk menganjurkan program USR iaitu program Kembali Ke Sekolah bersempena penggal persekolahan tahun 2025 yang akan dibuka pada pertengahan Februari ini. Program ini dilaksanakan dengan mempelawa pelbagai pihak iaitu korporat, persatuan/kesatuan USIM dan individu untuk menaja keperluan persekolahan anak-anak staf USIM.
Program ini mendapat tajaan terbesar daripada Hong Leong MSIG Takaful dan tajaan lain daripada Pusat Tanggungjawab dan Persatuan USIM dalam bentuk barangan keperluan sekolah. Seramai 60 orang anak-anak staf USIM diraikan pada program ini yang mendapat kerjasama tajaan lokasi daripada AEON Mall Nilai yang diadakan pada 6 Februari 2025. Majlis perasmian diadakan pada jam 10.30 pagi yang disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani, Pengarah Pusat Strategik Komunikasi USIM mewakili YBhg. Dato’ Naib Canselor. Pihak Hong Leong MSIG Takaful diwakili oleh YBrs. En. Mohd Raizal Mohd Rais, Ketua Pegawai Risiko.
Disediakan oleh,
SCIROSH
