NILAI, 2 November 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kursus Siasatan 360°: Dari Aduan ke Laporan Akhir pada 19 hingga 20 Oktober 2026 (Isnin dan Selasa), bertempat di Bilik Lestari 1, Aras 3, Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UTHM.
Pejabat Integriti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menghantar dua (2) orang wakil pegawai untuk menyertai kursus tersebut, iaitu Puan Nora Ardillah binti Nordin, Penolong Pendaftar, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi serta Puan Nur Sakeenah binti Shahrome, Penolong Pendaftar, Pejabat Integriti.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam mengendalikan proses siasatan secara menyeluruh, bermula daripada pengurusan aduan, pengumpulan bukti, pelaksanaan teknik temu bual, analisis dapatan sehinggalah penyediaan laporan siasatan yang objektif, teratur dan berkualiti.
Sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian merangkumi pemahaman proses siasatan, penilaian aduan dan bukti, teknik temu bual secara profesional, analisis dapatan serta latihan praktikal dan pembentangan kes. Pengisian ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam kaedah dan pendekatan siasatan yang sistematik serta berkesan.
Kursus ini turut dikendalikan oleh penceramah berpengalaman dalam bidang pengurusan dan penyiasatan yang dijemput khas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penyertaan pegawai USIM dalam kursus ini diharapkan dapat memperkukuh pengetahuan, integriti dan profesionalisme, di samping meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugas penyiasatan secara sistematik, telus dan berkesan.
